65 Pegawai ABDB dinaikkan pangkat



Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BERAKAS GARISON, Jumaat, 27 Mac. - Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 65 Pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat.


Seorang pegawai dinaikkan pangkat daripada Pemangku Mejar ke Mejar Tetap, 16 pegawai dinaikkan pangkat daripada Kapten / Leftenan (Tentera Laut Diraja Brunei - TLDB) Tetap ke Mejar / Leftenan Komander (TLDB) Tetap dan tiga pegawai dinaikkan pangkat daripada Kapten Tetap ke Pemangku Mejar.


Seterusnya, seorang pegawai dinaikkan pangkat daripada Pemangku Kapten ke Kapten Tetap, 42 pegawai dinaikkan pangkat dari Leftenan / Leftenan Madya (TLDB) ke Kapten / Leftenan (TLDB) Tetap dan dua pegawai dinaikkan pangkat daripada Leftenan ke Pemangku Kapten.


Penyampaian lencana pangkat telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan bertempat di Mes Pegawai Berakas Garison.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pengarah-pengarah dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang telah dinaikkan pangkat.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar bagi memberkati majlis tersebut.

Close